Perodua KeliXa — bayangan konsep kompak popular

Perodua Kelisa tak memerlukan pengenalan panjang. Sebahagian besar daripada kita tentu ada pengalaman sendiri tentang model yang menggantikan Kancil pada 2001 dulu, sebelum itu pula kemudiannya digantikan dengan model Viva pada tahun 2007.

Kecil dan ligat, kereta kompak ini masih lagi ada harga; dalam pasaran kereta terpakai misalnya, walaupun dan berusia banyak tahun, Kelisa masih lagi boleh dijual sekitar RM10,000. Tak dapat dinafikan, model yang meminjam asas daripada Daihatsu Mira L700 ini ada daya tarikan dan kualiti tersendiri.

Theophilus Chin, yang kerja lakaran serta rekaan digitalnya selalu kami tampilkan di laman ini, mengalihkan perhatian untuk membayangkan semula model Kelisa ini. Ia diberi nama KeliXa, sebuah bayangan konsep kepada model kereta kompak popular nasional – tetapi kali ini diposisikan antara Axia dan Myvi.

Jika anda nampak bentuk umumnya macam pernah dilihat, ia sebenarnya diambil daripada model Perodua X-Concept yang dipamerkan ketika KLIMS 2018. Theo pernah gunakan asas yang sama untuk menghasilkan rekaan bayangan Axia generasi baru sebelum ini.

Walaupun terdapat beberapa persamaan dengan rekaan awal berkenaan serta dengan X-Concept, banyak elemen pada KeliXa ini dihasilkan bagi menampakkan yang ia seperti sudah siap untuk diproduksi dan kekal menarik perhatian. Bermula di depan, lampu utama yang tirus serta bersegi adalah lanjutan daripada model konsep itu, digandingkan dengan bentuk gril hexagonal dengan kemasan corak berlian.

Bahagian bawah bampar, seksyen bentuk T pada X-Concept diubah menjadi ruang untuk menempatkan lampu kabus, di atas bukaan udara hiasan. Walaupun bahagian berkenaan nampak konvensional, sedikit ruang turut disediakan untuk menempatkan sensor sistem keselamatan kereta berkenaan.


Dari sisi, garis badan yang kelihatan lebih tajam dan ketara berbanding Kelisa yang dulu. Ini dilanjutkan sehingga ke bahagian lampu belakang dan ke bahagian lebih bawah bampar. Rekaan lampu juga lebih ringkas dan jelas.

Mengingat kembali perihal model X-Concept terdahulu, ia mempunyai dimensi seperti berikut; 3,750 mm panjang dan 1,665 mm lebar. Ukuran ini berada di antara Axia (3,640 mm panjang, 1,620 mm lebar) dan Myvi (3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar).

Jarak antara rodanya pula ialah 2,460 mm, berbanding yang dimiliki Axia (2,455 mm) dan Myvi (2,500 mm). Zamuren menjelaskan, saiz yang digunakan ini adalah bagi kereta kompak global, boleh saja merujuk kepada kenderaan segmen A. Jadi, macam mana dengan rekaan KeliXa ini? Cukup menarik?

Source: Read Full Article